Saturday, February 14, 2004

BABAK DUA

Sunway Pyramid, sebuah kompleks membeli-belah yang berdiri megah di Subang Jaya. Dulu, cuma Subang Parade menjadi destinasi membeli-belah setiap penduduk bandar ini. Tahun demi tahun kemudian, timbul pula Carrefour, Giant, dan Summit. Tetapi Sunway Pyramid paling menonjol kerana selain senibinanya yang unik, ruangnya juga lebih luas dan terdapat lebih banyak pilihan kedai. Berbanding kompleks membeli-belah yang lain, Sunway Pyramid mempunyai keistimewaan dari segi panggung wayang, gelanggang meluncur ais, pusat bowling dan juga kelab memanah.
Ruang kelab memanah itu tidak pernah lengang dari kehadiran pengunjung. Barangkali kerana ia kelab memanah yang terbesar di Malaysia, maka ia menjadi tumpuan ramai.

Ditambah pula dengan pelbagai kejohanan yang selalu diadakan di situ. Ia menjadi pilihan para penganjur kerana reputasinya yang unggul dan teknologinya yang terkini. Keevan terpegun di saat dia melangkah masuk ke dalam ruang legar kelab tersebut.

Cantik jugak tempat ni. Kenapalah selama ni aku tak pernah terfikir nak jenguk?

Kejohanan Memanah Peringkat Selangor baru saja hendak bermula. Keevan menyerahkan ‘pas media’ kepada pihak pengurusan dan mengambil tempat duduk di suatu ruang yang khas. Sesekali dia mengambil gambar dan mencatit sesuatu di dalam komputer PDAnya.

Sesudah kejohanan berakhir, kedengaran nama-nama pemenang diumumkan melalui pembesar suara. Seperti yang telah dijangkakan, nama Arissa Johari diumumkan sebagai pemenang tempat pertama bagi kejohanan kali ini.

Betul kata En. Zack. Wakil dari Subang ni boleh naik. Markah dia dengan pemenang kedua jauh berbeza. Bagus jugak kalau Vista jadi majalah pertama yang buat liputan penuh pasal dia.

Di celah-celah keriuhan orang ramai, Keevan cuba melihat gadis itu dari jauh. Namun usahanya hampa, kerana jambangan bunga yang sedang dipegang oleh gadis itu terlalu besar sehingga melindungi wajahnya dari kelihatan. Dia terus dikerumuni oleh para peserta lain yang tidak putus-putus bersalam-salaman. Keevan mengeluh perlahan.

Kejap lagilah aku jumpa dia. Lagipun Bob dah hubungi dia sebelum ni. Tentu dia tahu aku ada dekat sini.

Keevan duduk semula di atas kerusi. Dia kembali mencatit perkara-perkara penting di dalam komputer PDAnya, tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Beberapa minit kemudian, seseorang menyentuh bahunya dari belakang. Keevan tersentak.

“En. Bob Azhari?”

Seorang gadis yang berambut ikal dan berkulit kuning langsat menghulurkan tangan sebagai salam perkenalan.

Perempuan ni ke?

Keevan serta-merta berdiri, lantas mereka berjabat tangan. Matanya tidak berkedip memandang gadis tersebut.

“Majalah Vista, kan?” tanya gadis itu lagi.

“Err…ya, tapi saya bukan Bob. Saya Keevan Singh. Bob ambil cuti kecemasan. Isteri dia bersalin kelmarin. Anak laki... Mohd. Azhar.”

Eh, yang aku cerita semua ni buat apa?

Keevan menjadi serba tidak kena melihatkan gadis itu.

“Oh, ye ke? Kirimkan salam tahniah saya untuk dia, ya.” Gadis itu menguntum senyuman.

Senyuman dia pun sama!

“Awak ke Arissa Johari?”

“Panggil saya Ris cukuplah.”

Kedua-duanya membisu kerana tidak tahu apa lagi yang hendak diperkatakan.

Tiba-tiba Arissa bersuara.

“Kita berbual dekat tempat lainlah. Sini ramai orang.”

Keevan mengangguk dan mereka berdua berjalan beiringan menuju ke kafeteria. Biasanya Keevan cukup peramah dan mudah mesra, walaupun kali pertama berjumpa seseorang. Tugasnya sebagai seorang wartwan dan jurufoto memerlukan dia bersikap begitu. Apatah lagi dengan orang yang ditemuramah olehnya. Tetapi entah kenapa, disaat dia berhadapan dengan Arissa, lidahnya menjadi kelu. Fikirannya tertanya-tanya mengapa wajah gadis di dalam mimpinya itu serupa dengan wajah Arissa Johari.

Macam mana boleh sama…?

“Tak sangka ramai pihak media yang datang hari ni,” kata Arissa sambil menarik kerusi dan melabuhkan punggung.

“Ya?”

Keevan masih termangu-mangu.

“Tak sangka ramai pihak media yang datang hari ni,” ulang Arissa.

“Oh. Kenapa? Cik Arissa tak biasa ke?”

“Eh, tak adalah.”

“Jangan risau, Cik Arissa. Saya takkan buat cerita-cerita yang tak menentu. Takut juga, mana tahu esok-esok kena panah.”

Arissa tertawa kecil.

“Alah… saya pun bukannya selebriti, nak dibuat gosip-gosip panas.”

“Tak lama lepas saya buat liputan ni, jadi selebritilah,” seloroh Keevan.

Tidak lama kemudian, seorang pelayan tiba di meja mereka sambil membawa menu. Keevan dan Arissa memesan minuman dan terus berbual melewati masa. Suasana tidak lagi berasa begitu janggal seperti sebelumnya.

* * * * * *

Malam semakin pekat. Keevan meletakkan kereta Proton Putranya di halaman rumah. Dia kelihatan letih dan lesu setelah seharian bekerja. Memang sudah menjadi kebiasaan dia pulang ke rumah pada waktu lewat begini. Kariernya memaksa dia ke sana-sini tanpa mengira masa. Walau bagaimanapun, itu tidak menjadi soal kerana ia adalah impian Keevan sejak dibangku sekolah lagi.

Jika hendak dibandingkan di antara kedua-duanya, Keevan lebih berminat untuk menjadi seorang jurufoto. Mendiang bapa banyak mengajarnya tentang keunikan dan keindahan seni fotografi. Setelah ibu bapanya terkorban dalam satu nahas kapal terbang, Keevan hanya tinggal berdua bersama Carmila. Dia sedar bahawa dia mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai seorang abang. Kini Carmila sudah dewasa, sudah menjadi seorang mahasiswi di sebuah institut pengajian tinggi swasta. Kesemua saudara-mara mereka berada di luar negeri Selangor. Lagipun, hubungan mereka tidaklah begitu rapat. Mujur jiran-jiran mereka di Taman Sri Kelana itu semuanya baik-baik dan prihatin belaka.

“Baru balik dari kerja, Keevan?”

Jiran di sebelah rumahnya menyapa. Kebetulan lelaki yang berumur awal 50an itu hendak mengunci pintu pagar.

“Ha’ah, Pakcik Wang. Banyak betul kerja hari ni,” kata Keevan sambil mencapai begnya dan menutup pintu kereta.

“Jangan ikutkan sangat kerja tu. Orang muda pun kena berehat juga.”

“Nak buat macam mana, pakcik… Nak hidup, kenalah kerja kuat. Eh, Mila dah balik, pakcik?”

“Rasanya sudah. Petang tadi masa pakcik siram pokok, pakcik nampak dia balik. Tapi tak tahulah kalau dia keluar.”

“Terima kasih ya, Pakcik Wang. Saya masuk dulu.”

“Yelah.”

Keevan membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam rumah. Dia melucutkan kasut dan menyimpannya di dalam kabinet. Keevan memandang ke sekeliling mencari kelibat Carmila.

“Mila! Mila!”

Suara Keevan bergema di segenap ruang rumah.

“Mila!!”

“Ya!”

Kedengaran sahutan Carmila dari tingkat atas. Tidak lama kemudian, kelihatan gadis itu menuruni tangga dengan dahi yang berkerut. Keevan berasa lega melihat adiknya.

“Apa abang ni? Balik-balik dah terjerit-jerit.”

“Tak adalah. Abang nak tahu Mila ada dekat rumah ke tak.”

Carmila menggelengkan kepala dan berjalan menuju ke dapur.

“Petang tadi Kak Vina telefon,” ujar Carmila sambil membancuh air teh untuk abangnya.

“Ye ke?”

Air muka Keevan berubah. Terkejut berbaur gembira.

“Dia suruh telefon balik.”

Carmila menghulurkan cawan kepada Keevan. Keevan cepat-cepat meletakkannya di atas meja dan terus mendail telefon.

“Hai, lama tak dengar cerita dia? Tiba-tiba timbul pulak,” sindir Carmila lalu kembali ke dapur menyiapkan makan malam.

“Dah dia sibuk dekat MAS, nak buat macam mana…” Keevan memberi alasan sambil menunggu panggilannya dijawab oleh Davina.

Jari jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja, menghasilkan satu macam irama.

Mana dia ni… cepatlah angkat telefon!

“Hello.”

“Hello, Vina!”

“Keevan?”

“Awak telefon saya tadi? Awak dekat mana ni? Awak sihat?”

Mendengarkan soalan Keevan yang bertalu-talu itu, Davina tertawa kecil di talian sebelah.

“Saya sihat. Saya dekat lapangan terbang lagi ni. Saya baru balik masa saya telefon awak tadi. Awak baru balik kerja ke?”

“Ha’ah! Lama betul tak dengar suara awak, ya. Rindu.”

“Alah, awak ni. Baru seminggu.”

Keevan tergelak nakal.

“Awak dah makan?”

“Belum lagi.”

“Kita pergi makan nak?”

“Kerja saya belum habislah, Keevan.”

“Jangan ikutkan sangat kerja tu. Awak kena berehat jugak.”

Eh, aku ni cakap macam Pakcik Wang pulak.

“Saya tahulah. Habis kerja nanti saya pergi makan dengan kawan-kawan, okey? Puas hati?”

“Saya ni bukannya apa, Vina. Saya ambil berat pasal awak. Saya tak nak esok lusa awak sakit. Kalau awak tak nak jaga diri awak sendiri, sekurang-kurangnya jagalah diri untuk orang yang sayang awak ni.”

Davina mengeluh.

“Keevan, saya bukannya budak kecik. Pandailah saya jaga diri.”

“Okey, okey, saya tak nak gaduh pasal benda remeh macam ni.”

Kedua-duanya membisu.

“Penerbangan tadi macam mana?” Keevan seperti cuba memulakan perbualan semula.

“Macam biasa.”

“Hujung minggu ni ada penerbangan lagi?”

“Rasanya tak ada.”

“Kita keluar nak?”

“Pergi mana?”

“Mana-mana je. Dah lama kita tak keluar sama.”

“Hmm… KLCC boleh? Saya nak beli barang sikitlah.”

“Mana-mana pun boleh. Nanti bila saya nak ambil awak, saya telefon dulu.”

“Okey. Saya kena sambung kerja ni. Dia orang dah panggil.”

“Jaga diri elok-elok. Jangan lupa makan.”

“Yelah, saya tahu.”

“Bye.”

“Bye.”

Hubungan Keevan dengan Davina sudah hampir mencecah dua tahun. Mereka bertemu buat pertama kali di dalam kapal terbang ketika Keevan membuat liputan di luar negara. Walaupun mereka sudah cukup mengenali di antara satu sama lain, tetapi Keevan masih belum mendalami isi hati Davina dengan sebenarnya-benarnya. Davina sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pramugari di Syarikat Penerbangan MAS. Semakin lama, mereka semakin jarang bertemu dan hanyut dalam dunia masing-masing. Kadang-kadang Keevan merasakan perasaan sayang itu seakan-akan sudah pudar, baik dalam diri Davina atau dirinya sendiri.

Ada teman wanita yang lawa pun rasa sunyi lagi.

“Abang! Pergilah mandi cepat! Makan malam dah nak siap ni!”

* * * * * *

Keevan menyusuri ruang legar Suria KLCC seorang diri. Kompleks itu sarat dengan para pengunjung dihujung minggu. Tambahan pula, Karnival Membeli-Belah sedang diadakan secara besar-besaran di seluruh Malaysia. Sebagai sebuah pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, Suria KLCC pasti tidak terkecuali. Bermacam-macam ragam manusia dapat dilihat. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang bersama rakan, dan ada yang datang bersama teman.

Aku jugak yang jalan sorang-sorang.

Davina telah membatalkan temu janji mereka di saat-saat akhir. Memandangkan Keevan telah bersiap dari awal lagi, dia meneruskan saja hasratnya. Keevan berasa hampa, namun dia tidak berkecil hati. Bukan sekali dua perkara seperti ini terjadi. Keevan cukup memahami tugas Davina yang sememangnya tidak menentu itu. Dia tidak mahu dikatakan teman lelaki yang tidak bertimbang rasa. Dipaksa dirinya supaya beralah kepada keadaan.

Keevan terus berjalan sehingga dia tiba di hadapan sebuah kedai yang menjual peralatan kamera. Dia melangkah masuk. Sedang dia ralit membelek model-model kamera yang dipamerkan, dia ternampak Arissa yang berdiri tidak jauh darinya. Gadis itu juga sedang asyik membelek kamera.

“Awak tak cakap pun awak minat kamera?”

Arissa terkejut. Dia tersenyum lega melihat orang yang menyapanya itu adalah Keevan.

“Eh, Keevan. Macam mana awak ada dekat sini?”

“Macam mana awak yang ada dekat sini?”

“Oh, saya minat juga dengan kamera. Ikut bapa saya.”

Samalah kita!

“Kebetulan. Saya pun ikut bapa saya.”

“Dulu bapa saya pernah masukkan saya dalam kelas fotografi, tapi tak habis. Ada komitmen lain.”

“Ye ke? Awak tak pernah cerita pun?”

“Takkan semua saya nak cerita?”

“Yelah. Tapi kalau saya tahu, boleh saya ajar sikit-sikit.”

Aku ni macam nak tunjuk bagus pulak.

“Awak buat apa sorang-sorang dekat sini?” soal Keevan sambil memandang ke kiri dan ke kanan, melihat kalau-kalau Arissa datang bersama teman.

“Hari ni praktis habis awal. Saja je jalan-jalan dekat sini. Dah lama tak cuci mata tengok barang. Saya ni kalau membeli-belah memang suka sorang-sorang. Awak pulak…? Kena tinggal ke?” gurau Arissa.

Keevan tersentak lagi. Dia tersengih dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Sabar jelah perempuan ni.

“Eh, mana ada…”

Mereka terus berbual dan berjalan di sekitar kompleks membeli-belah itu bersama-sama. Sesekali kedengaran tawa Arissa diikuti dengan Keevan. Mereka berbual tentang pelbagai perkara tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Sejak hari itu, mereka menjadi akrab dan mula mengenali hati budi masing-masing. Keevan selesa berkawan dengan Arissa dan meluangkan masa bersamanya. Hendak dijadikan sebab, Bob kini sibuk dengan keluarga, Carmila pula sibuk dengan rakan-rakan di kolej, Davina… apatah lagi. Memanglah hakikatnya Keevan seorang wartawan yang bertemu ramai kenalan baru setiap hari. Tetapi untuk mencari seseorang yang benar-benar sehati dan sejiwa dengan dirinya, bukanlah sesuatu yang mudah.

Inilah kali pertama dia berkawan rapat dengan seorang gadis Melayu. Dengan Arissa, Keevan dapat berkongsi masalah, cita-cita, impian, dan bermacam-macam lagi. Arissa cukup sempurna pada pandangan matanya. Khuatir juga kalau Arissa sudah mempunyai teman istimewa. Masakan gadis sepertinya belum berpunya. Walau bagaimanapun, Keevan dapat merasakan ada suatu tarikan di antara mereka. Suatu tarikan yang kuat, tetapi tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Dan Keevan masih mencari maksud sebenar mimpi yang dialaminya tempoh hari.

* * * * * *

0 Comments:

Post a Comment

<< Home