Saturday, February 14, 2004

BABAK SATU

“Tahniah, Keevan! Kita orang dah agak dah. Mesti engkau yang dapat Anugerah Jurufoto Terbaik tahun ni!”

“Yelah! Lepas ni boleh belanja kita orang makan!”

Rakan-rakan sepejabat tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada Keevan. Dia dikerumuni ramai seperti seorang selebriti yang terkenal. Belum pernah Keevan berasa gembira sebegini.

“Terima kasih, terima kasih! Kau orang yang banyak tolong aku selama ni!”

Keevan tersenyum lebar sambil membelek-belek sijil anugerah yang baru diterimanya.

Hai, dah bertahun-tahun aku kerja dekat Vista. Tak sangka dapat jugak merasa anugerah ni.

“Ha, betul tak tekaan aku? Engkau ada potensi! Jurufoto kau dah jadi, wartawan kau dah jadi, lepas ni entah apa lagi! Boleh jadi, naik pangkat?”

“Ah, pandailah kau!”

“Hei, kau mana tahu? Kalau tekaan aku betul lagi, macam mana?” Bob menepuk-nepuk bahu sahabat karibnya. Keevan tersenyum bangga, terangkat dek kata-kata pujian Bob.

“Keevan!”

Keevan mencari dari mana datangnya suara itu. Dia terjenguk-jenguk di celah orang ramai yang berkerumun.

“Jerry! Kenapa?”

Rakan-rakan sepejabat yang lain berlalu pergi, meneruskan kerja di meja masing-masing. Bob masih berdiri di sebelah Keevan, turut memandang Jerry yang terkenal dengan sikap kelam-kabut itu.

“En. Zack panggil kau,” Jerry menjuihkan mulutnya ke arah sebuah bilik pejabat.

“Ye ke?” Keevan bertanya seperti orang bodoh. Barangkali kerana terlalu asyik dipuji, dia tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.

“Apa kau tunggu lagi? Mesti bos nak naikkan gaji kau! Pergilah!” Bob menolak Keevan sambil ketawa. Keevan tersengih-sengih, menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebenarnya dalam diam, dia juga mengharapkan kebenaran kata-kata Bob itu.

“OKlah Bob, aku pergi dulu,” Keevan berjalan meninggalkan Bob dan Jerry. Langkahnya terhenti setibanya dia di hadapan pintu pejabat En. Zack. Dia mengambil nafas panjang sebelum mengetuk pintu.

Belum pun tangannya mengenai pintu tersebut, suara En. Zack sudah kedengaran dari dalam.

“Masuk!”

Pergerakan tangan Keevan mati serta-merta.

En. Zack ni ada deria keenam agaknya.

Keevan membatalkan hasratnya untuk mengetuk pintu. Dia terus melangkah masuk. Dia tersenyum melihat En. Zack dan menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.

“Duduk.”

Seperti seorang anak kecil yang patuh, Keevan menuruti arahan ketuanya itu. En. Zack sedang tekun meneliti beberapa buah dokumen di atas meja. Sesekali pandangannya beralih ke skrin komputer.

“Beberapa hari lepas, saya dengan pihak atasan ada bincang pasal awak.” En. Zack menutup fail yang ditelitinya tadi.

“Kenapa dengan saya, bos?”

Nak naikkan gaji saya ke?

“Kami dah sebulat suara nak pindahkan awak ke Jabatan Akhbar.”

“Hah! Kenapa?”

Bukan nak naikkan gaji saya ke?

“Kan dah bertahun-tahun saya kerja di sini. Kenapa tiba-tiba pindahkan saya? Saya ada buat silap ke, En. Zack?” Reaksi wajah Keevan jelas menunjukkan bahawa dia tidak menyangka perkara sebegitu yang akan diperkatakan oleh En. Zack. Sudah sekian lama dia bekerja di Jabatan Majalah. Jiwanya sudah cukup sebati dengan tugasnya di situ. Keevan dan rakan-rakan sepejabatnya bagai satu keluarga yang tidak dapat dipisahkan lagi.

“Bukan macam tu, Keevan. Awak berpotensi tinggi. Kami rasa bakat dan kemahiran awak tu dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya di Jabatan Akhbar, berbanding Jabatan Majalah. Mereka lebih perlukan orang macam awak. Lagipun kami dah ada pengganti awak di sini.” En. Zack menerangkan dengan panjang lebar. Dia sedar Keevan berasa kurang senang dengan berita yang baru dikhabarkan olehnya.

“Pengganti? Siapa?” Keevan menjadi lebih terkejut dengan kenyataan En. Zack itu.

Tiba-tiba pintu pejabat En. Zack diketuk. Perbualan mereka terhenti sebentar.

“Masuk!”

Pandangan Keevan dan En. Zack tertumpu kepada pintu yang sedang dibuka. Seorang gadis Melayu yang berambut ikal dan berbaju kurung, melangkah masuk sambil membawa beberapa buah dokumen.

“Maaf mengganggu, En. Zack. Ini dokumen yang En. Zack minta tadi. Semuanya saya dah tandatangan.” Gadis itu meletakkan dokumen-dokumen tersebut di atas meja En. Zack. Mata Keevan tidak lekang memandangnya dari hujung rambut ke hujung kaki. Namun, gadis itu tidak sedikit pun menoleh ke arah Keevan.

“Keevan, inilah pengganti awak yang saya cakap tadi.”

Mulut Keevan separuh ternganga. Gadis yang sedang berdiri di sebelahnya itu hanya tersenyum simpul.

Ini pengganti aku? Perempuan?

“Apa yang awak nak risaukan? Jabatan Akhbar ke, Jabatan Majalah ke, semuanya bawah Vista Publishing. Apa salahnya kalau sesekali bertukar persekitaran dan pengalaman? Saya pasti orang yang profesional macam awak boleh sesuaikan diri di mana-mana pun.” En. Zack terus memujuk Keevan. Keevan memandang gadis di sebelahnya dengan rasa was-was.

Boleh ke dia ni tangkap gambar? Tengok gaya macam baru habis belajar. Muka macam ni, jadi model bolehlah. Masuk keluar hutan, belum tentu lagi.

“Sebelum ni saya pernah kerja dengan Neon Publishing. Kalau kena masuk keluar hutan pun saya tak kisah. Saya dah biasa.” Gadis itu tiba-tiba bersuara sambil memandang sinis ke arah Keevan.

Keevan meneguk air liurnya.

Kenapa semua orang boleh baca fikiran aku hari ni??

* * * * * *

Beep… beep… beep… beep…

Kedengaran bunyi telefon yang cukup membingitkan telinga. Tangan seseorang meraba-raba mencari sesuatu di atas meja. Dengan tidak sengaja, sebuah telefon dilanggarnya sehingga terjatuh ke lantai. Ia meraba-raba di atas lantai pula dan meneruskan pencarian. Setelah beberapa ketika, akhirnya telefon wayarles itu berjaya dicapai.

“Hello…?” Kedengaran suara serak seorang lelaki. Namun, wajahnya tidak kelihatan kerana seluruh tubuhnya dilitupi selimut.

“Hmm… hmm… hah?” Tiba-tiba selimut itu ditarik, menampakkan wajah Keevan yang sembab dan rambutnya yang tidak terurus.

“OK, bos. Kejap lagi saya datang.” Keevan menamatkan perbualan dan menekan butang yang terdapat pada telefon tersebut. Dia menggosok-gosok matanya yang masih kuyu.

La… tadi tu mimpi ke?

Keevan menggaru-garu kepalanya, membuatkan rambutnya tampak lebih kusut. Sambil bersila di atas katil, dia merenung kosong ke luar jendela. Di sebalik birai yang berwarna putih itu, jelas sekali matahari pagi sudah meninggi.

Keevan mematikan lamunannya. Dia meletakkan telefon tadi di atas meja yang bersebelahan katil. Di atas meja tersebut, terdapat sebuah dulang yang berisi sarapan. Air teh, roti bakar dan telur separuh masak yang sudah sejuk. Keevan menyedari ada sekeping nota yang terselit di bawah pinggan. Dia membuka lipatan nota tersebut.

Jangan cakap Mila tak kejutkan abang, ye! Abang yang tak nak bangun! Mila buatkan sarapan pun dah kira bagus! Mila kena pergi kolej awal hari ni. Ada pembentangan individu. Doakan Mila!

Keevan tersenyum tatkala membaca nota yang diberikan oleh adiknya, Carmila. Dia bingkas bangun dan mengemas katil.

* * * * * *

Dinding pejabat En. Zack dihiasi corak geometri yang berwarna-warni, sesuai dengan bidang media kreatif yang diceburinya. Di suatu sudut yang lain, terdapat bingkai-bingkai gambar yang mempamerkan keratan akhbar, sijil, dan foto-foto yang mengabadikan kejayaan Majalah Vista disepanjang penubuhannya.

Tidak dinafikan bahawa Syarikat Penerbitan Vista adalah satu syarikat penerbitan yang berjaya, malah cukup terkenal di seluruh Malaysia. Selain daripada menerbitkan majalah dan akhbar, ia juga menerbitkan pelbagai jenis buku mengikut kesesuaian semua golongan masyarakat. Ibu pejabatnya yang terletak di Petaling Jaya itulah tempat Keevan bekerja sehari-hari. Dia bertugas sebagai seorang wartawan dan jurufoto di Jabatan Majalah yang diketuai oleh En. Zack. Meskipun En. Zack kelihatan serius dan tegas, hakikatnya dia seorang ketua yang baik hati dan amat bertimbang rasa terhadap para pekerjanya.

Keevan duduk bertentangan dengan En. Zack yang sedang tekun menaip di papan kekunci komputer. En. Zack seolah-olah tidak mengendahkan kehadiran Keevan di hadapannya. Dada Keevan berdegup pantas. Perasaan ingin tahu yang menyelubungi dirinya semakin membuak-buak.

“Apa perkara penting yang En. Zack nak beritahu saya tadi?” Keevan tidak dapat menyembunyikan lagi rasa kurang sabarnya.

“Kejap ya… sikit lagi ni.” Pandangan En. Zack tidak beralih dari skrin komputer tersebut. Keevan mengeluh perlahan dan bersandar semula di kerusi.

“Awal pagi tadi Bob telefon saya.” En. Zack mula bersuara.

“Kenapa dengan dia, bos?” Keevan menumpukan perhatiannya semula.

“Isteri dia baru bersalin, lebih kurang pukul satu pagi tadi.”

“Ye ke?” Keevan sedikit terkejut. En. Zack sekadar mengangguk.

“Tapi dia beritahu saya, sebulan dua lagi.”

“Itulah. Katanya, dia pun tak sangka awal macam ni. Sekarang keadaan anak dia belum stabil. Tak cukup bulan.”

“Oh. Agaknya dia cuba hubungi saya. Tapi saya tidur mati…” Keevan berasa kesal kerana tidak dapat bercakap dengan Bob di saat sahabat karibnya itu kesusahan.

“Awak jangan risau. Dia kata tak ada apa-apa yang serius. Cuma ambil masa sikit nak stabil.”

“Anak lelaki ke, perempuan, bos?

“Kalau tak silap saya, anak lelaki.”

Hati Keevan melonjak dalam diam. Seronoknya! Aku dah jadi Pakcik Keevan sekarang!

“Memandangkan Bob dah ambil cuti kecemasan, kalau boleh saya nak awak ambil alih tugas dia.”

Angan-angan Keevan terhenti.

“Tugas apa, bos?”

“Lusa ada Kejohanan Memanah Peringkat Selangor dekat Sunway Pyramid. Kalau boleh saya nak awak jadi wakil Vista di sana. ”

“Oh, Sunway Pyramid. Pernah jugak dua tiga kali saya ke sana.”

“Hmm… awak pasti awak lapang sekarang? Saya tak nak ganggu kerja awak. Kalau awak sibuk, saya cari orang lain.”

“Eh, saya tak kisah, bos. Saya pun baru habis buat liputan Formula One tu semalam. Itu yang tidur sampai tak ingat dunia.” Keevan bersungguh-sungguh meyakinkan En. Zack. Tiada apa lagi yang dia mahukan disaat itu selain daripada membantu Bob.

“Baiklah kalau macam tu. Ini nama dan nombor telefonnya. Mana tahu awak perlu hubungi dia,” En. Zack menghulurkan sekeping nota kecil kepada Keevan.

“Nombor siapa ni?” Keevan menyambut nota tersebut dengan hairan.

“Orang yang awak kena temuramah nantilah. Wakil dari Subang Jaya. Rekod dia agak cemerlang kalau nak dibandingkan dengan peserta-peserta lain. Sebelum ni, pernah juga dia masuk surat khabar. Tapi belum ada liputan penuh pasal dia. Saya dapat rasa dia akan naik tak lama lagi.”

“Hmm… OK. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu, En. Zack.”

En. Zack menganggukkan kepala dan meneruskan kerjanya di komputer.

Keevan keluar dari pejabat tersebut dan berjalan menuju ke mejanya. Otaknya ligat berfikir tentang tugasan yang baru diterimanya.

Dah berapa tahun aku tak buat liputan sukan...

Dari jauh dia ternampak Jerry sedang rancak berbual di telefon. Jerry yang turut menyedari kehadiran Keevan, terus melambai-lambai memanggilnya.

“Keevan! Bob ni!”

Keevan mempercepatkan langkahnya. Sambil tercungap-cungap, dia mengambil telefon dari tangan Jerry.

“Hei, Bob! Tahniah! Engkau dekat mana ni?”

“Terima kasih! Aku dekat hospital lagi ni. Semalam aku telefon kau, tapi kau tak angkat. Maaflah aku kacau kau pagi-pagi buta.” Suara Bob di talian sebelah jelas menunjukkan kegembiraannya.

“Eh, jangan cakap macam tu. Aku yang tidur mati! Wah, dah jadi bapalah kau sekarang! Macam mana anak engkau? Apa nama dia? Isteri kau OK tak?”

“Banyak betul soalan kau! Mana satu aku nak jawab ni? Anak aku belum stabillah. Tapi doktor kata, tak ada apa-apa. Siti OK. Cuma badan dia lemah sikit.”

“Eh, engkau tak jawab soalan aku lagi. Apa nama anak engkau?”

“Mohd. Azhar.”

“Mohd. Azhar? Macam nama kau je! Mohd. Azhar bin Mohd. Azhari. OKlah tu. Ada nilai komersial!” Keevan ketawa diikuti dengan Bob.

“Habis tu, takkan aku nak letak nama Keevan pulak!”

“Betul jugak tu. Kau suruhlah Siti mengandung anak laki lagi! Boleh kita buat pasukan bola sepak!”

“Hai, kesianlah bini aku! Takkan semuanya dia. Kau tu bila lagi?”

“Kau ni Bob, macam tak paham-paham je. Aku nak kumpul duit banyak-banyak dululah. Bagi adik aku kahwin dulu, baru aku pikir pasal diri sendiri.”

“Yelah, yelah… Tiap kali aku tanya, jawapan kau sama je. Engkau dengan kamera kau, Davina dengan kapal terbang dia. Agaknya bila anak aku kahwin esok lusa, barulah kau orang nak kahwin saing dia!”

“Alah… kalau tak kahwin langsung pun aku boleh hidup, Bob!”

Entah mengapa, tiba-tiba perbualan mereka menjadi sepi.

“OKlah, Keevan. Aku nak pergi tengok Siti kejap.”

“OK. Pasal kerja kau tu, jangan bimbanglah. Aku dah ambil alih.”

“Ye ke? Terima kasih banyak-banyak, Keevan! Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi. Kalau benda ni tak jadi, aku pun takkan menyusahkan kau.”

“Tak ada apalah, Bob. Selama ni bila aku susah, kau yang tolong aku. Yang penting sekarang ni, kau jaga Siti dengan anak kau elok-elok sampai dia orang sihat. Apa-apa hal, telefon je aku!”

“Yelah, Keevan. Terima kasih banyak-banyak. Aku pergi dulu!”

“OK, bye.”

“Bye.”

Keevan meletakkan gagang telefon dan menghela nafas lega. Dia tumpang gembira di atas kelahiran anak sulung Bob. Namun jauh di sudut hatinya, dia juga berharap agar persahabatan mereka dapat kembali seperti dulu. Sebelum Bob berkahwin, hubungan mereka berdua cukup rapat. Mereka selalu bersembang di kedai minum sehingga lewat pagi, memancing pada hujung minggu, menonton perlawanan bola sepak dan berkongsi masalah bersama. Tetapi sejak berumahtangga, Bob sudah ada tanggungjawabnya sendiri. Hubungan mereka masih rapat, tetapi mereka tidak dapat meluangkan masa bersama sekerap dahulu.

Dan kini, Bob sudah mempunyai anak. Dengan keluarga yang semakin besar, tentu peranannya juga lebih besar. Keevan sedar dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Pasti dia akan membuat perkara yang sama jika dia berada di tempat Bob. Mungkin inilah yang dikatakan asam garam kehidupan. Keevan yakin, walau apa pun yang terjadi, dia dan Bob akan tetap terus bersahabat.

Untung Bob. Ada orang jaga dia, ada dia jaga orang. Aku? Umur dah 29 tahun, tapi aku rasa perjalanan aku masih jauh. Aku sendiri belum pasti pasal Davina. Banyak lagi yang aku nak capai.

Keevan meneliti semula nama yang tertera di atas nota kecil pemberian En. Zack tadi.

ARISSA JOHARI…

* * * * * *

BABAK DUA

Sunway Pyramid, sebuah kompleks membeli-belah yang berdiri megah di Subang Jaya. Dulu, cuma Subang Parade menjadi destinasi membeli-belah setiap penduduk bandar ini. Tahun demi tahun kemudian, timbul pula Carrefour, Giant, dan Summit. Tetapi Sunway Pyramid paling menonjol kerana selain senibinanya yang unik, ruangnya juga lebih luas dan terdapat lebih banyak pilihan kedai. Berbanding kompleks membeli-belah yang lain, Sunway Pyramid mempunyai keistimewaan dari segi panggung wayang, gelanggang meluncur ais, pusat bowling dan juga kelab memanah.
Ruang kelab memanah itu tidak pernah lengang dari kehadiran pengunjung. Barangkali kerana ia kelab memanah yang terbesar di Malaysia, maka ia menjadi tumpuan ramai.

Ditambah pula dengan pelbagai kejohanan yang selalu diadakan di situ. Ia menjadi pilihan para penganjur kerana reputasinya yang unggul dan teknologinya yang terkini. Keevan terpegun di saat dia melangkah masuk ke dalam ruang legar kelab tersebut.

Cantik jugak tempat ni. Kenapalah selama ni aku tak pernah terfikir nak jenguk?

Kejohanan Memanah Peringkat Selangor baru saja hendak bermula. Keevan menyerahkan ‘pas media’ kepada pihak pengurusan dan mengambil tempat duduk di suatu ruang yang khas. Sesekali dia mengambil gambar dan mencatit sesuatu di dalam komputer PDAnya.

Sesudah kejohanan berakhir, kedengaran nama-nama pemenang diumumkan melalui pembesar suara. Seperti yang telah dijangkakan, nama Arissa Johari diumumkan sebagai pemenang tempat pertama bagi kejohanan kali ini.

Betul kata En. Zack. Wakil dari Subang ni boleh naik. Markah dia dengan pemenang kedua jauh berbeza. Bagus jugak kalau Vista jadi majalah pertama yang buat liputan penuh pasal dia.

Di celah-celah keriuhan orang ramai, Keevan cuba melihat gadis itu dari jauh. Namun usahanya hampa, kerana jambangan bunga yang sedang dipegang oleh gadis itu terlalu besar sehingga melindungi wajahnya dari kelihatan. Dia terus dikerumuni oleh para peserta lain yang tidak putus-putus bersalam-salaman. Keevan mengeluh perlahan.

Kejap lagilah aku jumpa dia. Lagipun Bob dah hubungi dia sebelum ni. Tentu dia tahu aku ada dekat sini.

Keevan duduk semula di atas kerusi. Dia kembali mencatit perkara-perkara penting di dalam komputer PDAnya, tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Beberapa minit kemudian, seseorang menyentuh bahunya dari belakang. Keevan tersentak.

“En. Bob Azhari?”

Seorang gadis yang berambut ikal dan berkulit kuning langsat menghulurkan tangan sebagai salam perkenalan.

Perempuan ni ke?

Keevan serta-merta berdiri, lantas mereka berjabat tangan. Matanya tidak berkedip memandang gadis tersebut.

“Majalah Vista, kan?” tanya gadis itu lagi.

“Err…ya, tapi saya bukan Bob. Saya Keevan Singh. Bob ambil cuti kecemasan. Isteri dia bersalin kelmarin. Anak laki... Mohd. Azhar.”

Eh, yang aku cerita semua ni buat apa?

Keevan menjadi serba tidak kena melihatkan gadis itu.

“Oh, ye ke? Kirimkan salam tahniah saya untuk dia, ya.” Gadis itu menguntum senyuman.

Senyuman dia pun sama!

“Awak ke Arissa Johari?”

“Panggil saya Ris cukuplah.”

Kedua-duanya membisu kerana tidak tahu apa lagi yang hendak diperkatakan.

Tiba-tiba Arissa bersuara.

“Kita berbual dekat tempat lainlah. Sini ramai orang.”

Keevan mengangguk dan mereka berdua berjalan beiringan menuju ke kafeteria. Biasanya Keevan cukup peramah dan mudah mesra, walaupun kali pertama berjumpa seseorang. Tugasnya sebagai seorang wartwan dan jurufoto memerlukan dia bersikap begitu. Apatah lagi dengan orang yang ditemuramah olehnya. Tetapi entah kenapa, disaat dia berhadapan dengan Arissa, lidahnya menjadi kelu. Fikirannya tertanya-tanya mengapa wajah gadis di dalam mimpinya itu serupa dengan wajah Arissa Johari.

Macam mana boleh sama…?

“Tak sangka ramai pihak media yang datang hari ni,” kata Arissa sambil menarik kerusi dan melabuhkan punggung.

“Ya?”

Keevan masih termangu-mangu.

“Tak sangka ramai pihak media yang datang hari ni,” ulang Arissa.

“Oh. Kenapa? Cik Arissa tak biasa ke?”

“Eh, tak adalah.”

“Jangan risau, Cik Arissa. Saya takkan buat cerita-cerita yang tak menentu. Takut juga, mana tahu esok-esok kena panah.”

Arissa tertawa kecil.

“Alah… saya pun bukannya selebriti, nak dibuat gosip-gosip panas.”

“Tak lama lepas saya buat liputan ni, jadi selebritilah,” seloroh Keevan.

Tidak lama kemudian, seorang pelayan tiba di meja mereka sambil membawa menu. Keevan dan Arissa memesan minuman dan terus berbual melewati masa. Suasana tidak lagi berasa begitu janggal seperti sebelumnya.

* * * * * *

Malam semakin pekat. Keevan meletakkan kereta Proton Putranya di halaman rumah. Dia kelihatan letih dan lesu setelah seharian bekerja. Memang sudah menjadi kebiasaan dia pulang ke rumah pada waktu lewat begini. Kariernya memaksa dia ke sana-sini tanpa mengira masa. Walau bagaimanapun, itu tidak menjadi soal kerana ia adalah impian Keevan sejak dibangku sekolah lagi.

Jika hendak dibandingkan di antara kedua-duanya, Keevan lebih berminat untuk menjadi seorang jurufoto. Mendiang bapa banyak mengajarnya tentang keunikan dan keindahan seni fotografi. Setelah ibu bapanya terkorban dalam satu nahas kapal terbang, Keevan hanya tinggal berdua bersama Carmila. Dia sedar bahawa dia mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai seorang abang. Kini Carmila sudah dewasa, sudah menjadi seorang mahasiswi di sebuah institut pengajian tinggi swasta. Kesemua saudara-mara mereka berada di luar negeri Selangor. Lagipun, hubungan mereka tidaklah begitu rapat. Mujur jiran-jiran mereka di Taman Sri Kelana itu semuanya baik-baik dan prihatin belaka.

“Baru balik dari kerja, Keevan?”

Jiran di sebelah rumahnya menyapa. Kebetulan lelaki yang berumur awal 50an itu hendak mengunci pintu pagar.

“Ha’ah, Pakcik Wang. Banyak betul kerja hari ni,” kata Keevan sambil mencapai begnya dan menutup pintu kereta.

“Jangan ikutkan sangat kerja tu. Orang muda pun kena berehat juga.”

“Nak buat macam mana, pakcik… Nak hidup, kenalah kerja kuat. Eh, Mila dah balik, pakcik?”

“Rasanya sudah. Petang tadi masa pakcik siram pokok, pakcik nampak dia balik. Tapi tak tahulah kalau dia keluar.”

“Terima kasih ya, Pakcik Wang. Saya masuk dulu.”

“Yelah.”

Keevan membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam rumah. Dia melucutkan kasut dan menyimpannya di dalam kabinet. Keevan memandang ke sekeliling mencari kelibat Carmila.

“Mila! Mila!”

Suara Keevan bergema di segenap ruang rumah.

“Mila!!”

“Ya!”

Kedengaran sahutan Carmila dari tingkat atas. Tidak lama kemudian, kelihatan gadis itu menuruni tangga dengan dahi yang berkerut. Keevan berasa lega melihat adiknya.

“Apa abang ni? Balik-balik dah terjerit-jerit.”

“Tak adalah. Abang nak tahu Mila ada dekat rumah ke tak.”

Carmila menggelengkan kepala dan berjalan menuju ke dapur.

“Petang tadi Kak Vina telefon,” ujar Carmila sambil membancuh air teh untuk abangnya.

“Ye ke?”

Air muka Keevan berubah. Terkejut berbaur gembira.

“Dia suruh telefon balik.”

Carmila menghulurkan cawan kepada Keevan. Keevan cepat-cepat meletakkannya di atas meja dan terus mendail telefon.

“Hai, lama tak dengar cerita dia? Tiba-tiba timbul pulak,” sindir Carmila lalu kembali ke dapur menyiapkan makan malam.

“Dah dia sibuk dekat MAS, nak buat macam mana…” Keevan memberi alasan sambil menunggu panggilannya dijawab oleh Davina.

Jari jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja, menghasilkan satu macam irama.

Mana dia ni… cepatlah angkat telefon!

“Hello.”

“Hello, Vina!”

“Keevan?”

“Awak telefon saya tadi? Awak dekat mana ni? Awak sihat?”

Mendengarkan soalan Keevan yang bertalu-talu itu, Davina tertawa kecil di talian sebelah.

“Saya sihat. Saya dekat lapangan terbang lagi ni. Saya baru balik masa saya telefon awak tadi. Awak baru balik kerja ke?”

“Ha’ah! Lama betul tak dengar suara awak, ya. Rindu.”

“Alah, awak ni. Baru seminggu.”

Keevan tergelak nakal.

“Awak dah makan?”

“Belum lagi.”

“Kita pergi makan nak?”

“Kerja saya belum habislah, Keevan.”

“Jangan ikutkan sangat kerja tu. Awak kena berehat jugak.”

Eh, aku ni cakap macam Pakcik Wang pulak.

“Saya tahulah. Habis kerja nanti saya pergi makan dengan kawan-kawan, okey? Puas hati?”

“Saya ni bukannya apa, Vina. Saya ambil berat pasal awak. Saya tak nak esok lusa awak sakit. Kalau awak tak nak jaga diri awak sendiri, sekurang-kurangnya jagalah diri untuk orang yang sayang awak ni.”

Davina mengeluh.

“Keevan, saya bukannya budak kecik. Pandailah saya jaga diri.”

“Okey, okey, saya tak nak gaduh pasal benda remeh macam ni.”

Kedua-duanya membisu.

“Penerbangan tadi macam mana?” Keevan seperti cuba memulakan perbualan semula.

“Macam biasa.”

“Hujung minggu ni ada penerbangan lagi?”

“Rasanya tak ada.”

“Kita keluar nak?”

“Pergi mana?”

“Mana-mana je. Dah lama kita tak keluar sama.”

“Hmm… KLCC boleh? Saya nak beli barang sikitlah.”

“Mana-mana pun boleh. Nanti bila saya nak ambil awak, saya telefon dulu.”

“Okey. Saya kena sambung kerja ni. Dia orang dah panggil.”

“Jaga diri elok-elok. Jangan lupa makan.”

“Yelah, saya tahu.”

“Bye.”

“Bye.”

Hubungan Keevan dengan Davina sudah hampir mencecah dua tahun. Mereka bertemu buat pertama kali di dalam kapal terbang ketika Keevan membuat liputan di luar negara. Walaupun mereka sudah cukup mengenali di antara satu sama lain, tetapi Keevan masih belum mendalami isi hati Davina dengan sebenarnya-benarnya. Davina sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pramugari di Syarikat Penerbangan MAS. Semakin lama, mereka semakin jarang bertemu dan hanyut dalam dunia masing-masing. Kadang-kadang Keevan merasakan perasaan sayang itu seakan-akan sudah pudar, baik dalam diri Davina atau dirinya sendiri.

Ada teman wanita yang lawa pun rasa sunyi lagi.

“Abang! Pergilah mandi cepat! Makan malam dah nak siap ni!”

* * * * * *

Keevan menyusuri ruang legar Suria KLCC seorang diri. Kompleks itu sarat dengan para pengunjung dihujung minggu. Tambahan pula, Karnival Membeli-Belah sedang diadakan secara besar-besaran di seluruh Malaysia. Sebagai sebuah pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, Suria KLCC pasti tidak terkecuali. Bermacam-macam ragam manusia dapat dilihat. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang bersama rakan, dan ada yang datang bersama teman.

Aku jugak yang jalan sorang-sorang.

Davina telah membatalkan temu janji mereka di saat-saat akhir. Memandangkan Keevan telah bersiap dari awal lagi, dia meneruskan saja hasratnya. Keevan berasa hampa, namun dia tidak berkecil hati. Bukan sekali dua perkara seperti ini terjadi. Keevan cukup memahami tugas Davina yang sememangnya tidak menentu itu. Dia tidak mahu dikatakan teman lelaki yang tidak bertimbang rasa. Dipaksa dirinya supaya beralah kepada keadaan.

Keevan terus berjalan sehingga dia tiba di hadapan sebuah kedai yang menjual peralatan kamera. Dia melangkah masuk. Sedang dia ralit membelek model-model kamera yang dipamerkan, dia ternampak Arissa yang berdiri tidak jauh darinya. Gadis itu juga sedang asyik membelek kamera.

“Awak tak cakap pun awak minat kamera?”

Arissa terkejut. Dia tersenyum lega melihat orang yang menyapanya itu adalah Keevan.

“Eh, Keevan. Macam mana awak ada dekat sini?”

“Macam mana awak yang ada dekat sini?”

“Oh, saya minat juga dengan kamera. Ikut bapa saya.”

Samalah kita!

“Kebetulan. Saya pun ikut bapa saya.”

“Dulu bapa saya pernah masukkan saya dalam kelas fotografi, tapi tak habis. Ada komitmen lain.”

“Ye ke? Awak tak pernah cerita pun?”

“Takkan semua saya nak cerita?”

“Yelah. Tapi kalau saya tahu, boleh saya ajar sikit-sikit.”

Aku ni macam nak tunjuk bagus pulak.

“Awak buat apa sorang-sorang dekat sini?” soal Keevan sambil memandang ke kiri dan ke kanan, melihat kalau-kalau Arissa datang bersama teman.

“Hari ni praktis habis awal. Saja je jalan-jalan dekat sini. Dah lama tak cuci mata tengok barang. Saya ni kalau membeli-belah memang suka sorang-sorang. Awak pulak…? Kena tinggal ke?” gurau Arissa.

Keevan tersentak lagi. Dia tersengih dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Sabar jelah perempuan ni.

“Eh, mana ada…”

Mereka terus berbual dan berjalan di sekitar kompleks membeli-belah itu bersama-sama. Sesekali kedengaran tawa Arissa diikuti dengan Keevan. Mereka berbual tentang pelbagai perkara tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Sejak hari itu, mereka menjadi akrab dan mula mengenali hati budi masing-masing. Keevan selesa berkawan dengan Arissa dan meluangkan masa bersamanya. Hendak dijadikan sebab, Bob kini sibuk dengan keluarga, Carmila pula sibuk dengan rakan-rakan di kolej, Davina… apatah lagi. Memanglah hakikatnya Keevan seorang wartawan yang bertemu ramai kenalan baru setiap hari. Tetapi untuk mencari seseorang yang benar-benar sehati dan sejiwa dengan dirinya, bukanlah sesuatu yang mudah.

Inilah kali pertama dia berkawan rapat dengan seorang gadis Melayu. Dengan Arissa, Keevan dapat berkongsi masalah, cita-cita, impian, dan bermacam-macam lagi. Arissa cukup sempurna pada pandangan matanya. Khuatir juga kalau Arissa sudah mempunyai teman istimewa. Masakan gadis sepertinya belum berpunya. Walau bagaimanapun, Keevan dapat merasakan ada suatu tarikan di antara mereka. Suatu tarikan yang kuat, tetapi tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Dan Keevan masih mencari maksud sebenar mimpi yang dialaminya tempoh hari.

* * * * * *

BABAK TIGA

“Selamat hari jadi… selamat hari jadi… selamat hari jadi, Ina… selamat hari jadi…!”

Alina meniup 16 batang lilin kecil yang menyala di atas sebiji kek coklat. Ahli keluarganya berdiri di sekeliling sambil bertepuk tangan. Arissa memeluk bahu adik bongsunya itu. Alina memotong kek tersebut dan menyuapkan ke mulut ibu bapanya. Johari dan Azah mengucup dahi anak perempuan mereka dengan penuh mesra.

Selesai makan malam, Arissa dan Alina mengemas meja.

“Kak Ngah ni… baliklah rumah tiap minggu. Ni tidak, dalam sebulan sekali dua je. Bosan tau! Ina selalu kena buli kat rumah ni. Mentang-mentanglah Ina sorang perempuan. Semuanya Ina yang kena buat.”

“Alah… kalau Kak Ngah lapang, mesti Kak Ngah balik kan?”

“Eleh… entah-entah Kak Ngah dah ada pakwe kat sana, tak? Sebab tulah dua tiga hari ni Kak Ngah asyik tersengih sorang-sorang!”

“Hisy, memandai je budak ni! Kalau Kak Ngah ada pakwe, Kak Ngah bagi tahu satu rumah ni tau!”

“Habis tu? Kak Ngah tinggallah kat sini je. Rumah kat Subang tu pun bukan Kak Ngah duduk dengan siapa-siapa.”

“Hmm… Ina nak hadiah tak?” tanya Arissa sambil meletakkan pinggan kotor ke dalam sinki.

“Nak!” Mata Alina bersinar mendengarkan kata-kata Arissa.

“Meh, ikut Kak Ngah.”

“Pinggan ni macam mana?”

“Biar Abang Long dengan Jan yang buat!”

Arissa memimpin tangan Alina menuju ke bilik tidurnya. Dia membuka laci dan mengeluarkan sebuah kotak yang dibalut berserta reben. Dia menghulurkannya kepada Alina.

“Terima kasih, Kak Ngah!” Dibukanya hadiah itu serta-merta.

“Wah, diari! Cantiknya!”

Alina membelek-belek diari yang berwarna merah jambu itu, warna kegemarannya.

Tiba-tiba telefon bimbit Arissa berbunyi. Arissa membuka semula laci tadi, meraba-raba mencari telefon bimbitnya.

“Hello?”

“Hello, Ris. Saya ni.”

“Oh, Keevan!”

“Awak dekat mana?”

“Dekat JB. Kenapa?”

“Oh, ye ke? Saya ingat awak dah balik rumah. Maaflah kalau saya mengganggu.”

“Mana ada mengganggu. Kenapa? Rindu ke?” Arissa ketawa, langsung tidak menyedari gurauannya itu mengenai batang hidung Keevan.

“Saya baru je sambut hari jadi Ina. Awak nak kek tak? Nanti saya bawa balik. Banyak ni!” sambung Arissa.

“Alaa… saya nak rasa masakan awak.”

“Masakan saya? Nantilah, Hari Raya nanti.”

Keevan tergelak.

“Sebenarnya saya telefon ni nak ajak awak tangkap gambar. Ingatkan awak dah balik Subang.”

“Malam esok baru saya balik. Minggu depan, boleh?”

“Boleh jugak.”

“Awak nak pergi mana?”

“Awak nak pergi mana?” Keevan bertanya semula soalan yang sama.

“Saya takut awak tak suka tempat yang saya pilih.”

“Cakap ajelah.”

“Tak apalah. Awak je yang pilih. Saya tak kisah.”

“Tempat yang saya pilih pun belum tentu awak suka, kan?”

Arissa bagaikan mati kutu.

“Awak beritahu tempat awak, saya beritahu tempat saya. Lepas tu kita pilih. Okey?”

“Hmm… tak tahulah bagi awak. Tapi kalau saya, saya paling suka tangkap gambar dekat pantai.”

“Pantai? Itu tempat kegemaran saya jugak!”

“Ye ke?”

“Hai, kalau awak cakap awal-awal tadi kan senang! Taklah jadi satu isu macam ni.” Keevan dan Arissa ketawa memikirkan fi’il masing-masing.

Mereka terus bersembang hingga larut malam. Bukan selalu Arissa dapat pulang ke rumahnya di Johor Bahru. Keevan tahu gadis itu memang rapat dengan ahli keluarganya. Arissa punya seorang ibu, bapa, abang dan dua orang adik. Mereka sebuah keluarga yang cukup sempurna. Dalam diam, Keevan juga mendambakan sebuah keluarga seperti itu. Setidak-tidaknya, Carmila dapat merasa kasih sayang dengan sepenuhnya. Keevan tumpang gembira melihat kebahagiaan keluarga Arissa. Walaupun kadangkala apabila Arissa pulang ke rumah orang tuanya, dia berasa agak kesunyian.

* * * * * *

Persisiran Pantai Purnama dipenuhi pengunjung dari pelbagai golongan bangsa dan usia. Suara riang kanak-kanak dan bunyi ombak yang menghempas pantai, bersatu memenuhi suasana. Pepohonan kelapa menari mengikut rentak angin yang bertiup lembut. Di sinilah para penjaja mencari rezeki dan di sini juga manusia mencari ketenangan. Manusia… setinggi mana jua teknologi yang dikecapi oleh manusia, mereka tetap akan kembali ke pangkuan alam.

Di suatu sudut yang jauh dari keriuhan orang ramai, Keevan dan Arissa sedang duduk di atas batu-batu yang besar sambil memegang kamera masing-masing. Keevan sedang mengajar Arissa teknik-teknik yang boleh menghasilkan gambar yang menarik.

“Mesti ini impian awak dari kecil kan?” tanya Arissa sambil memandang ke arah pantai.

“Maksud awak?”

“Yelah, jadi jurufoto.”

Keevan mengangguk perlahan.

“Saya tak pernah ada cita-cita lain. Masa sekolah dulu, saya sanggup ikat perut sebab nak kumpul duit beli kamera. Bila dah beli, Tuhan saja yang tahu seronoknya! Masa tu kamera tak mahal macam sekarang. Tapi saya tetap jaga macam nyawa sendiri. Saya nak jadi jurufoto lebih dari segala-galanya. Kalau saya tak dapat jadi jurufoto, saya rasa macam takde guna jadi manusia.”

“Macam tu sekali?”

“Sebab ini je yang saya tahu buat.”

Arissa ketawa mendengarkan kata-kata Keevan.

“Bukan apa. Ini je minat saya, cara saya hargai ciptaan Tuhan.”

Terutamanya awak.

Tiba-tiba Keevan menangkap gambar Arissa. Arissa terkejut.

“Eh, itu untuk apa?”

“Untuk perempuan Melayu yang paling cantik saya pernah jumpa.”

Macam tak percaya je aku boleh cakap macam tu.

“Hai, tak sangka selain jadi jurufoto, awak boleh jadi pujangga jugak. Tapi maaflah… zaman sekarang ni pujangga tak laku, tak boleh cari makan.”

Arissa tersenyum dengan penuh makna dan berlalu dari situ. Gadis itu terus mengambil gambar. Keevan hanya memerhati dari jauh.

Tiba-tiba Arissa melambai-lambai ke arah Keevan.

“Keevan!”

“Ya!”

“Nak mandi tak?”

“Hah? Mandi?”

“Yelah! Mandi!” Arissa mengangguk dengan bersungguh-sungguh.

“Mana kita ada bawa baju!”

“Belilah!”

Keevan memandang Arissa dengan penuh kehairanan.

Dia ni peliklah.

“Err… Okey!”

* * * * * *

Angin menghembus kuat. Hari semakin petang dan air mula pasang. Namun, pengunjung masih belum surut. Keevan sedang duduk di persisiran pantai sambil leka membina istana pasir. Bersungguh-sungguh dia mengutip kulit siput dan cengkerang untuk menghias istana tersebut.

“Ris! Dah siap!” Keevan tersenyum bangga melihat hasil kerjanya.

“Ris?”

Keevan menoleh ke arah laut di mana tadinya Arissa sedang asyik berenang.

“Ris??”

Keevan menjerit lagi. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Laungannya tiada jawapan.

Sepi.

“Ris!”

Keevan terus berlari ke arah laut. Dengan sepenuh tenaga, dia berenang melawan arus ombak yang menghempas hebat. Jantungnya berdegup kencang.

Ris, awak dekat mana?

* * * * * *

Keevan menepuk-nepuk pipi Arissa yang sedang terbaring di atas pasir. Tiada respon dari gadis itu. Keevan semakin resah. Dia sendiri masih tercungap-cungap setelah menyelamatkan Arissa yang lemas sebentar tadi. Orang ramai mula berkerumun di sekeliling, menimbulkan sedikit kekecohan.

Ris, jangan buat saya macam ni.

Keevan mati akal. Tanpa berfikir panjang, dia melakukan pernafasan dari mulut ke mulut. Sesekali dia menekan-nekan dada Arissa dengan berhati-hati.

Tiba-tiba dahi Arissa berkerut. Kelopak matanya bergerak-gerak. Dia batuk dan memuntahkan air laut.

“Ris!”

Keevan tersenyum gembira. Dia memangku kepala Arissa dan mengusap rambut yang menutupi dahinya.

“Ya Allah…”

Kedengaran suara Arissa begitu perlahan dan lemah.

“Keevan…”

“Saya dekat sini, Ris. Awak selamat.”

“Keevan…”

“Ya?”

Keevan mendekatkan telinganya kepada Arissa.

“Lepas ni… kita pergi memanah, ya… tak nak berenang lagi…”

Keevan ketawa dan memeluk Arissa seerat-eratnya.

* * * * * *

Ruang kelab memanah di Sunway Pyramid agak lengang pada hari itu. Jika minggu lepas Arissa menemani Keevan mengambil gambar, minggu ini Keevan menemani Arissa berlatih memanah pula. Keevan memerhatikan Arissa dari tempat duduk penonton. Sesekali dia bermain dengan komputer PDAnya. Arissa menumpukan sepenuh konsentrasinya terhadap latihan. Setelah dua jam berlalu, Arissa kelihatan penat. Dia berhenti seketika dan berjalan ke arah Keevan. Keevan menghulurkan sebotol air mineral kepadanya.

“Tak nak cuba?” soal Arissa sambil mengelap peluhnya.

“Apa? Memanah?”

Arissa mengangguk.

“Hisy, tak naklah. Tak reti.”

“Tak reti boleh belajar.”

“Hmm… rasanya belajar berenang lebih penting dari belajar memanah.”

Arissa mengetap bibirnya apabila diperli oleh Keevan.

“Eh, marah ke?”

“Kalau tak nak, sudahlah.”

“Jangan macam tu. Err… sebenarnya saya teringin jugak nak cuba,” pujuk Keevan.

“Betul?”

“Betullah. Nak ajar ke tak?”

“Jom.”

Pelajaran bermula dengan Arissa mengajar Keevan bagaimana cara memegang busur dan anak panah. Berpeluh-peluh muka Keevan cuba untuk menumpukan perhatian. Beberapa kali percubaannya tidak berjaya. Dia hampir-hampir berputus asa. Namun, Arissa terus memberi panduan dan semangat. Akhirnya satu panahan Keevan mengenai sasaran.

Keevan dan Arissa melonjak riang sambil diperhatikan oleh orang di sekeliling.

* * * * * *

“Seronok jugak memanah, ya?” ujar Keevan sambil memandu kereta. Mereka dalam perjalanan untuk menghantar Arissa pulang ke rumah.

“Kan saya dah kata. Tak rugi belajar.”

“Saya kagum dengan awak. Umur baru 23, dah jadi jaguh memanah. Pandai berdikari, pandai hidup sendiri…”

“Ini jelah modal hidup saya, Keevan. Macam awak dengan kamera awak. Nasib baik saya tahu memanah. Kalau tak, agaknya saya dah mati kesunyian.”

Arissa tersenyum.

“Tengahari esok awak datanglah rumah saya. Ada makan-makan.”

“Awak tak ada kerja ke? Lapang betul nampaknya.”

“Saya siapkan kerja awal-awal. Hujung minggu boleh berehat sikit.”

Boleh jumpa awak.

“Patutlah Isnin sampai Jumaat buat kerja separuh mati. Tak makan, tak tidur. Selamatkan orang, pandai. Jaga diri, tak pandai.”

“Oo… kenakan orang balik, ye?” Keevan mencubit pipi Arissa. Tangan gadis itu cepat-cepat menepis.

"Adoi! Sakitlah! Ingat saya teman wanita awak ke?”

Keevan terdiam. Arissa memandangnya dengan wajah yang serba salah. Kemudian dia ketawa. Keevan turut ketawa.

“Siapa lagi yang datang esok?”

“Alah… bukannya rumah terbuka. Kawan-kawan rapat je. Mila yang masak. Dia nak sangat awak rasa.”

“Hmm… dia masak mesti sedap kan? Kalau tak, taklah badan awak besar macam ni…!”

* * * * * *

“Macam mana, Kak Ris? Sedap tak Mila masak?” tanya Mila dengan tidak sabar.

“Tak sedap…”

Wajah Arissa nampak serius. Air muka Carmila berubah.

“Tapi best!”

Tiba-tiba Arissa tersenyum lebar. Rupa-rupanya dia mengenakan adik Keevan itu.

Carmila ketawa kegembiraan diikuti dengan Bob, Siti dan Jerry. Dia tersenyum bangga apabila masakannya dipuji. Keevan hanya memerhatikan gelagat mereka.

Kesian Mila. Tak pernah merasa ada emak, ada kakak. Tapi yang hairannya dalam banyak-banyak kawan perempuan aku, dia paling berkenan dengan Arissa.

“Syhhh… jangan ketawa kuat sangat. Nanti Azhar terjaga,” kata Keevan sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir.

“Mila, nanti boleh bagi Kak Siti resepi spaghetti ni?”

“Boleh! Lepas tu mesti Abang Bob tak cari lain!”

Keevan menyiku adiknya.

“Eh, budak ni. Apa cakap macam tu.”

Tiba-tiba telefon bimbit Keevan berbunyi, menandakan satu mesej ringkas telah diterima. Keevan membaca mesej tersebut.

Keevan, maaf saya tak dapat datang. Saya ada kerja. Bila saya ada masa nanti, saya datang jenguk awak dan Mila.

Keevan mengeluh perlahan. Arissa menyedari perubahan di wajahnya.

“Kenapa?”

“Tak ada apa. Vina tak dapat datang.”

“Oh.”

* * * * * *

Selesai makan tengahari, mereka semua duduk di ruang tamu sambil berbual. Keevan menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya minggu lalu. Bob dan Jerry memuji keindahan gambar-gambar tersebut. Arissa, Carmila dan Siti pula bersembang tentang kejadian lemas tempoh hari.

“Nasib baik Ris takde apa-apa, kan?” ujar Siti sambil memegang lengan Arissa. Carmila hanya mengiyakan kata-kata Siti.

“Dan nasib baik gambar yang diambilnya cantik. Berbaloilah juga,” Bob tersenyum menyeringai sambil melihat himpunan gambar di atas meja.

“Sebenarnya ada banyak lagi gambar yang kita orang tangkap,” kata Arissa.
“Ha’ah. Baru siap cuci semalam. Nak tengok ke?” tanya Keevan.

“Eh, apa guna cuci gambar?” Jerry menepuk badan Keevan. “Pergilah ambil. Boleh kita orang tengok.”

Keevan bangun dan menuju ke bilik gelap, di mana dia selalu mencuci gambar-gambarnya sendiri.

Keevan membuka pintu dan melangkah masuk. Sebiji lampu berwarna kuning menerangi bilik itu dengan cahaya yang suram. Terdapat rak yang mengandungi pelbagai buku dan peralatan yang berkaitan dengan fotografi. Beberapa keping gambar disepit pada seutas tali yang merentangi bilik tersebut.

Keevan membelek beberapa buah album foto yang terletak di atas meja. Dia membuka satu persatu album dan mula meneliti isi kandungannya.

Tiba-tiba seekor lipas terjatuh dari siling ke atas album tadi. Keevan terkejut dan cuba mengelak. Dia terlanggar sebuah rak sehingga ia bergegar. Sebuah botol plastik di bahagian atas mula bergerak-gerak. Keevan mendongak ke atas. Tanpa disedari, botol itu tidak ditutup dengan ketat.

Botol itu terjatuh.

Bahan kimia didalamnya tertumpah mengenai wajah Keevan. Dia menjerit dan terduduk ke atas lantai. Tangannya menggeletar, memegang mukanya yang kebasahan. Matanya tertutup rapat.

Pandangan Keevan menjadi gelap.

* * * * * *

BABAK EMPAT

Keevan terbaring di atas sebuah pengusung yang sedang bergerak laju. Kepalanya tergerak-gerak menahan kesakitan. Kulit di sekitar matanya menjadi merah. Dia dikelilingi oleh seorang doktor, jururawat, Arissa, Carmila, Bob dan Jerry. Langkah mereka pantas, namun terasa begitu berat. Siti yang mendukung anaknya hanya mampu melihat dari jauh. Pengusung tadi terus ditolak menuju ke bilik pembedahan. Apabila semakin hampir, Bob dan Jerry melepaskan pegangan masing-masing. Tetapi Arissa dan Carmila masih teguh berpaut. Keresahan jelas terpancar di wajah kedua-dua gadis itu.

Keevan ditolak masuk ke dalam bilik pembedahan. Carmila berkeras untuk masuk tetapi dia ditenangkan oleh salah seorang jururawat. Dia terduduk di hadapan pintu bilik pembedahan tersebut. Tangisannya memecah kesunyian segenap ruang hospital.

Arissa duduk di atas bangku, memeluk dirinya sendiri. Airmatanya mengalir tanpa henti. Dadanya sesak dibebani kesedihan.

* * * * * *

Beberapa jam berlalu dirasakan bagai bertahun-tahun. Akhirnya pembedahan itu selesai.

Arissa meluru ke arah doktor yang baru saja keluar dari bilik pembedahan.

“Siapa ahli keluarganya?”

Arissa terdiam dan memandang ke arah Carmila.

“Saya adiknya.”

“Ikut saya ke pejabat.”

Carmila berlalu meninggalkan Arissa keseorangan. Arissa menunggu di luar dengan hati yang berdebar-debar. Hanya Tuhan yang tahu betapa jiwanya dibuai gelisah. Dia sekadar mampu bertawakal dan terus bertawakal.

Tidak berapa lama kemudian, Carmila keluar dari pejabat Dr. Halil dengan langkah yang longlai. Dia menangis teresak-esak, membuatkan Arissa berasa lebih cemas.

“Macam mana Mila? Apa kata doktor?” Arissa memaut erat lengan Carmila.

“Abang… dia dah tak boleh melihat. Dia dah buta, Kak Ris. Abang Mila dah buta…”

“Ya Allah…”

Pegangan tangan Arissa terlerai serta-merta. Carmila merangkul tubuh Arissa. Dia menangis semahu-mahunya. Dia terlalu lemah untuk berkata apa-apa lagi. Lidah Arissa juga menjadi kelu. Kepalanya berpinar-pinar. Airmatanya bergenang kembali.

Arissa menarik nafas panjang.

“Dia tahu tak hal ni?” tanya Arissa sambil mengusap lembut rambut Carmila. Dikuatkan semangatnya untuk berkata-kata.

“Dia belum sedar…” Carmila menggeleng perlahan. Masih kedengaran sendu dalam suara gadis itu.

* * * * * *

Arissa menghempaskan badannya ke atas katil. Dia masih tidak dapat melelapkan mata walaupun jam menunjukkan sudah pukul tiga pagi. Tiada airmata yang mampu ditangiskan lagi. Sekejap dia mengiring ke kanan, sekejap dia mengiring ke kiri. Fikirannya berputar memikirkan sesuatu.

Tiba-tiba Arissa bangun dan berjalan menuju ke bilik air. Dia segera mengambil wudhuk dan menunaikan solat istikharah. Dalam sujudnya, dia berdoa agar diberi petunjuk dan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk membuat keputusan yang tepat.

Selesai bersolat, Arissa duduk di meja bacaannya. Dia mengeluarkan sehelai kertas dan sampul surat. Dia mula menulis.

“Ayah, ibu, maafkan Ris…”

* * * * * *

Awal keesokan paginya, Arissa datang lagi ke hospital. Tetapi kali ini dia datang seorang diri. Dia tidak membawa Carmila bersama. Dia datang dengan satu tujuan.

Arissa menuju ke kaunter pertanyaan dan bertanyakan di mana Dr. Halil. Nasibnya baik kerana pada waktu itu, belum ramai pesakit yang memenuhi ruang hospital.

Dr. Halil menjemput Arissa masuk ke pejabatnya. Wajah mereka kelihatan serius tatkala mereka membincangkan sesuatu. Arissa bercakap dengan begitu bersungguh-sungguh. Dia kelihatan tegas menegakkan pendiriannya. Dr. Halil mengangguk-angguk, seolah tidak berdaya lagi untuk memotong kata-kata gadis itu.

“Awak pasti dengan keputusan awak ni?” soal Dr. Halil untuk ke sekian kalinya.

“Saya dah fikirkannya semalaman. Saya takkan menyesal dan takkan berganjak dari keputusan saya,” tegas Arissa lagi.

“Baiklah. Kalau macam tu, kita mulakan dengan beberapa dokumen untuk awak tandatangani.”

* * * * * *

Dr. Halil dan para pembantunya sedang sibuk membuat persiapan di bilik pembedahan.

Di suatu sudut yang lain, Keevan sedang berbaring kaku di atas sebuah pengusung. Dia masih tidak sedarkan diri.

Beberapa minit kemudian, Arissa melangkah masuk ke dalam bilik pembedahan. Dia memakai pakaian yang sama seperti Keevan. Matanya tidak berkedip memandang pemuda itu. Wajahnya lesu dan sayu.

“Cik Arissa baring dulu, ya,” kata seorang jururawat dengan lembut.

Arissa duduk di atas pengusung yang terletak bersebelahan dengan Keevan. Perlahan-lahan dia berbaring dan melihat ke sekeliling bilik pembedahan itu. Peralatannya… mesinnya… jururawatnya… Dr. Halil memandang Arissa dan menganggukkan kepala. Arissa berpaling ke arah Keevan. Dia cuba memegang tangan Keevan tetapi tidak tercapai.

* * * * * *

Lampu yang tertulis perkataan ‘on-air’ di luar bilik pembedahan itu, terpadam.

Keevan diusung keluar oleh beberapa orang jururawat. Matanya berbalut. Badannya masih kaku.

Tidak lama selepas itu, Arissa diusung keluar dari bilik yang sama. Matanya juga berbalut. Dia juga tidak sedarkan diri.

* * * * * *

Keevan sedang duduk di atas katil. Sesudah beberapa minggu berlalu, hari ini balutan matanya akan dibuka. Carmila yang berada di sebelah, memegang erat tangan abangnya. Dengan penuh cermat, seorang jururawat membuka balutan tersebut sambil diperhatikan oleh Dr. Halil.

Kelopak mata Keevan bergerak-gerak. Kulit disekitar matanya tidak semerah sebelumnya. Dahinya berkerut menandakan rasa bimbang.

“Okey. En. Keevan boleh buka mata sekarang. Perlahan-lahan, ya.”

Keevan mengikut arahan jururawat tersebut. Dilihatnya persekitaran bilik itu kabur, kemudian perlahan-lahan menjadi terang dan jelas.

* * * * * *

BABAK LIMA

Setelah sekian lama berehat, akhirnya Keevan kembali ke pejabat.
Dia berjalan beriringan dengan Bob. Mereka melalui meja rakan-rakan sepejabat yang lain. Mereka gembira melihat kehadiran Keevan. Semuanya menyapa Keevan, menepuk-nepuk bahunya, bersalam-salaman dan bertanya khabar. Perlakuan mereka mengingatkan Keevan kepada sesuatu.

Bukan ke ini mimpi aku dulu? Tapi mana anugerahnya? Tidak… mungkin aku dapat anugerah yang lebih bernilai. Aku dapat melihat semula. Ya, aku dapat mata aku semula.

“Lama betul kau tinggalkan pejabat, Keevan. Semua orang rindukan kau!”

Keevan hanya tersenyum. Tidak banyak bercakap seperti selalunya.

Dia dan Bob tiba di ruang kerja mereka lalu duduk di tempat masing-masing. Keevan merenung ke arah mejanya. Tangannya memegang setiap barang yang berada di atas meja tersebut. Jelas sekali dia juga merindui tugasnya di Majalah Vista.

Pandangannya beralih kepada Bob yang sedang membaca surat khabar. Satu artikel di muka belakang menarik perhatian Keevan.

KE MANA HILANGNYA WAKIL SELANGOR?

“Eh, pinjam kejap!” Keevan mengambil surat khabar berkenaan sebelum Bob sempat membalas pertanyaannya.

“Pasal Arissa ke?”

Keevan tidak menyahut. Dia terus membaca dengan khusyuk.

“Hari tu masa Kejohanan Memanah Peringkat Kebangsaan, dia tak datang-datang. Kecoh jadinya. Nasib baik ada dua tiga orang lagi wakil Selangor. Kau pun tak tahu dia dekat mana?”

Keevan menggelengkan kepala. Pandangannya melintasi perkataan ARISSA JOHARI…

* * * * * *

Pintu sebuah kereta Proton Putra terbuka. Keevan keluar dari kereta tersebut sambil memegang kameranya. Dia mengunci keretanya dan menuju ke Pantai Purnama. Keevan terus berjalan menyusuri persisiran pantai yang sarat dengan pengunjung. Terlalu banyak sebab mengapa dia memilih pantai ini. Untuk mengambil gambar, untuk mencari ketenangan, dan barangkali untuk mengimbas memori.

Dia menuju ke suatu kawasan yang jauh dari keriuhan orang ramai. Keevan duduk di atas sebuah batu yang besar dan mula mengambil gambar. Dia mengambil gambar pokok, gambar laut, dan gambar manusia…

Tiba-tiba Keevan ternampak seorang gadis melalui lensa kameranya. Gadis itu memakai cermin mata hitam dan topi yang berikat reben. Dia sedang duduk di bawah pohon yang rendang sambil menikmati pemandangan laut. Perasaan Keevan bagai diusik.

Macam aku kenal…

Dia memutar lensa kameranya untuk melihat dengan lebih jelas.

Ris! Aku tahu itu Ris! Kenapa dia tak pernah datang melawat aku? Tak pernah jawab panggilan aku? Ris, awak ke mana selama ni? Saya dah sihat. Lepas ni kita boleh tangkap gambar sama-sama. Ris, jangan tinggalkan saya lagi.

Air muka Keevan berubah. Dia tidak berasa ragu-ragu lagi. Dia bangun dan berjalan perlahan-lahan ke arah Arissa. Langkah kakinya kelihatan teragak-agak. Arissa langsung tidak mempedulikan Keevan yang sudah semakin hampir dengannya. Baru saja dia hendak menyapa Arissa, tiba-tiba gadis itu berdiri.

Langkah Keevan terhenti. Arissa mengeluarkan sebatang tongkat. Perlahan-lahan dia berjalan berpandukan tongkat tersebut dan berlalu meninggalkan Keevan.

Keevan menekup mulutnya. Dia terpaku. Seluruh tubuhnya menjadi lemah. Dia melutut di atas pasir. Jantungnya bagai dipanah petir yang maha hebat. Mulutnya mahu memanggil Arissa tetapi tiada suara yang mampu keluar.

Ris… kenapa boleh jadi macam ni?

Keevan diruntun pilu sehingga tidak berdaya lagi untuk berkata-kata. Air mata jernihnya mula bertakung.

Langit mulai mendung, seperti mengiringi kesedihan seorang manusia yang bergelar lelaki.

* * * * * *

Pagi yang indah, seindah pagi-pagi yang sebelumnya. Embun menitis, burung berkicauan dan manusia… manusia memulakan hari yang baru.

Tidak ramai penumpang yang memenuhi ruang bas pada ketika itu. Terlalu awal, barangkali. Ada pelajar sekolah menengah yang sedang tidur. Ada perempuan tua yang membawa bakul pasar. Ada pemuda yang lengkap dengan kemeja dan tali leher. Ada gadis yang memakai uniform sebuah bank terkemuka. Bas itu sunyi tanpa sebarang suara. Hanya deruan enjin yang mengisi suasana.

Tiba-tiba bas tersebut berhenti di sebuah perhentian. Arissa naik dengan perlahan-lahan berpandukan tongkatnya. Tangannya meraba-raba mencari tempat berpaut.

“Nak ke mana, cik?” tanya pemandu bas.

“Macam biasalah, pakcik,” jawab Arissa sambil tersenyum manis.

Dia mengeluarkan beberapa keping syiling dan menghulurkannya kepada pemandu bas itu. Dengan langkah yang berhati-hati, dia mengambil tempat duduk di hadapan sekali.

“Bertuah ye kamu.” Tiba-tiba pemandu bas itu bersuara.

“Pakcik bercakap dengan saya ke?” Arissa berasa sedikit hairan.

“Ha, dengan kamulah.”

“Apa yang bertuahnya, pakcik?”

Pemandu bas itu melepaskan brek dan meneruskan perjalanan. Dahi Arissa berkerut menunggu jawapan. Perasaannya meronta-ronta ingin tahu.

“Yelah… pakcik tengok, tiap pagi bila kamu naik bas ni, mesti ada sorang laki yang memerhatikan kamu dari seberang jalan tu. Bertuahlah, ada orang ambil berat. Tak macam pakcik ni…”

Arissa terkedu. Dia tersandar di kerusi bas itu. Selama ini, dia menyangka dirinya keseorangan tanpa teman. Hati kecil Arissa dilanda kesayuan yang tidak terperi. Di sebalik cermin mata hitamnya itu, setitis air mata mula berlinangan di pipi. Tangan Arissa memegang tongkatnya dengan erat. Air mata tadi jatuh berguguran mengenai permukaan tangannya.

* * * * * *

Keevan melihat bas itu berlalu pergi, sepertimana yang dilakukan olehnya setiap pagi. Sejak bila dia berbuat begitu, dia sendiri tidak dapat mengingati.

Keevan telah memutuskan perhubungannya dengan Davina. Kemalangan tahun lalu telah membuka matanya. Davina tidak pernah mengambil berat perihal dirinya selama ini. Sepanjang dia berada di hospital, Davina terlalu sibuk untuk datang menjenguknya.
Sayang sekali, Keevan juga tidak dapat hidup bersama Arissa. Selain perbezaan agama dan bangsa, Keevan tidak pasti sama ada keluarga Arissa dapat menerima dirinya setelah apa yang telah berlaku. Terlalu berat rasa bersalah yang menghantui dirinya.

Baru kini Keevan faham maksud sebenar mimpinya dahulu. Arissa tidak mengambil alih tugasnya sebagai seorang jurufoto. Sebaliknya lebih daripada itu. Arissa menggantikan mata Keevan dengan matanya sendiri.

Ris, kenapa awak mesti teruskan impian hidup saya? Macam mana saya nak balas pengorbanan awak? Ris… semuanya salah saya. Saya terlewat mengucapkan kata-kata tu. Maafkan saya, Ris. Maafkan saya. Saya janji saya akan habiskan seumur hidup saya menjaga awak dan memerhatikan awak. Saya akan pastikan awak tak keseorangan walau sesaat pun. Biar mata awak jadi saksi, Ris. Sampai akhir hayat saya, biar mata awak ini yang jadi saksi…

* * * * * *

Monday, November 11, 2002

Index