Saturday, February 14, 2004

BABAK SATU

“Tahniah, Keevan! Kita orang dah agak dah. Mesti engkau yang dapat Anugerah Jurufoto Terbaik tahun ni!”

“Yelah! Lepas ni boleh belanja kita orang makan!”

Rakan-rakan sepejabat tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada Keevan. Dia dikerumuni ramai seperti seorang selebriti yang terkenal. Belum pernah Keevan berasa gembira sebegini.

“Terima kasih, terima kasih! Kau orang yang banyak tolong aku selama ni!”

Keevan tersenyum lebar sambil membelek-belek sijil anugerah yang baru diterimanya.

Hai, dah bertahun-tahun aku kerja dekat Vista. Tak sangka dapat jugak merasa anugerah ni.

“Ha, betul tak tekaan aku? Engkau ada potensi! Jurufoto kau dah jadi, wartawan kau dah jadi, lepas ni entah apa lagi! Boleh jadi, naik pangkat?”

“Ah, pandailah kau!”

“Hei, kau mana tahu? Kalau tekaan aku betul lagi, macam mana?” Bob menepuk-nepuk bahu sahabat karibnya. Keevan tersenyum bangga, terangkat dek kata-kata pujian Bob.

“Keevan!”

Keevan mencari dari mana datangnya suara itu. Dia terjenguk-jenguk di celah orang ramai yang berkerumun.

“Jerry! Kenapa?”

Rakan-rakan sepejabat yang lain berlalu pergi, meneruskan kerja di meja masing-masing. Bob masih berdiri di sebelah Keevan, turut memandang Jerry yang terkenal dengan sikap kelam-kabut itu.

“En. Zack panggil kau,” Jerry menjuihkan mulutnya ke arah sebuah bilik pejabat.

“Ye ke?” Keevan bertanya seperti orang bodoh. Barangkali kerana terlalu asyik dipuji, dia tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.

“Apa kau tunggu lagi? Mesti bos nak naikkan gaji kau! Pergilah!” Bob menolak Keevan sambil ketawa. Keevan tersengih-sengih, menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebenarnya dalam diam, dia juga mengharapkan kebenaran kata-kata Bob itu.

“OKlah Bob, aku pergi dulu,” Keevan berjalan meninggalkan Bob dan Jerry. Langkahnya terhenti setibanya dia di hadapan pintu pejabat En. Zack. Dia mengambil nafas panjang sebelum mengetuk pintu.

Belum pun tangannya mengenai pintu tersebut, suara En. Zack sudah kedengaran dari dalam.

“Masuk!”

Pergerakan tangan Keevan mati serta-merta.

En. Zack ni ada deria keenam agaknya.

Keevan membatalkan hasratnya untuk mengetuk pintu. Dia terus melangkah masuk. Dia tersenyum melihat En. Zack dan menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.

“Duduk.”

Seperti seorang anak kecil yang patuh, Keevan menuruti arahan ketuanya itu. En. Zack sedang tekun meneliti beberapa buah dokumen di atas meja. Sesekali pandangannya beralih ke skrin komputer.

“Beberapa hari lepas, saya dengan pihak atasan ada bincang pasal awak.” En. Zack menutup fail yang ditelitinya tadi.

“Kenapa dengan saya, bos?”

Nak naikkan gaji saya ke?

“Kami dah sebulat suara nak pindahkan awak ke Jabatan Akhbar.”

“Hah! Kenapa?”

Bukan nak naikkan gaji saya ke?

“Kan dah bertahun-tahun saya kerja di sini. Kenapa tiba-tiba pindahkan saya? Saya ada buat silap ke, En. Zack?” Reaksi wajah Keevan jelas menunjukkan bahawa dia tidak menyangka perkara sebegitu yang akan diperkatakan oleh En. Zack. Sudah sekian lama dia bekerja di Jabatan Majalah. Jiwanya sudah cukup sebati dengan tugasnya di situ. Keevan dan rakan-rakan sepejabatnya bagai satu keluarga yang tidak dapat dipisahkan lagi.

“Bukan macam tu, Keevan. Awak berpotensi tinggi. Kami rasa bakat dan kemahiran awak tu dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya di Jabatan Akhbar, berbanding Jabatan Majalah. Mereka lebih perlukan orang macam awak. Lagipun kami dah ada pengganti awak di sini.” En. Zack menerangkan dengan panjang lebar. Dia sedar Keevan berasa kurang senang dengan berita yang baru dikhabarkan olehnya.

“Pengganti? Siapa?” Keevan menjadi lebih terkejut dengan kenyataan En. Zack itu.

Tiba-tiba pintu pejabat En. Zack diketuk. Perbualan mereka terhenti sebentar.

“Masuk!”

Pandangan Keevan dan En. Zack tertumpu kepada pintu yang sedang dibuka. Seorang gadis Melayu yang berambut ikal dan berbaju kurung, melangkah masuk sambil membawa beberapa buah dokumen.

“Maaf mengganggu, En. Zack. Ini dokumen yang En. Zack minta tadi. Semuanya saya dah tandatangan.” Gadis itu meletakkan dokumen-dokumen tersebut di atas meja En. Zack. Mata Keevan tidak lekang memandangnya dari hujung rambut ke hujung kaki. Namun, gadis itu tidak sedikit pun menoleh ke arah Keevan.

“Keevan, inilah pengganti awak yang saya cakap tadi.”

Mulut Keevan separuh ternganga. Gadis yang sedang berdiri di sebelahnya itu hanya tersenyum simpul.

Ini pengganti aku? Perempuan?

“Apa yang awak nak risaukan? Jabatan Akhbar ke, Jabatan Majalah ke, semuanya bawah Vista Publishing. Apa salahnya kalau sesekali bertukar persekitaran dan pengalaman? Saya pasti orang yang profesional macam awak boleh sesuaikan diri di mana-mana pun.” En. Zack terus memujuk Keevan. Keevan memandang gadis di sebelahnya dengan rasa was-was.

Boleh ke dia ni tangkap gambar? Tengok gaya macam baru habis belajar. Muka macam ni, jadi model bolehlah. Masuk keluar hutan, belum tentu lagi.

“Sebelum ni saya pernah kerja dengan Neon Publishing. Kalau kena masuk keluar hutan pun saya tak kisah. Saya dah biasa.” Gadis itu tiba-tiba bersuara sambil memandang sinis ke arah Keevan.

Keevan meneguk air liurnya.

Kenapa semua orang boleh baca fikiran aku hari ni??

* * * * * *

Beep… beep… beep… beep…

Kedengaran bunyi telefon yang cukup membingitkan telinga. Tangan seseorang meraba-raba mencari sesuatu di atas meja. Dengan tidak sengaja, sebuah telefon dilanggarnya sehingga terjatuh ke lantai. Ia meraba-raba di atas lantai pula dan meneruskan pencarian. Setelah beberapa ketika, akhirnya telefon wayarles itu berjaya dicapai.

“Hello…?” Kedengaran suara serak seorang lelaki. Namun, wajahnya tidak kelihatan kerana seluruh tubuhnya dilitupi selimut.

“Hmm… hmm… hah?” Tiba-tiba selimut itu ditarik, menampakkan wajah Keevan yang sembab dan rambutnya yang tidak terurus.

“OK, bos. Kejap lagi saya datang.” Keevan menamatkan perbualan dan menekan butang yang terdapat pada telefon tersebut. Dia menggosok-gosok matanya yang masih kuyu.

La… tadi tu mimpi ke?

Keevan menggaru-garu kepalanya, membuatkan rambutnya tampak lebih kusut. Sambil bersila di atas katil, dia merenung kosong ke luar jendela. Di sebalik birai yang berwarna putih itu, jelas sekali matahari pagi sudah meninggi.

Keevan mematikan lamunannya. Dia meletakkan telefon tadi di atas meja yang bersebelahan katil. Di atas meja tersebut, terdapat sebuah dulang yang berisi sarapan. Air teh, roti bakar dan telur separuh masak yang sudah sejuk. Keevan menyedari ada sekeping nota yang terselit di bawah pinggan. Dia membuka lipatan nota tersebut.

Jangan cakap Mila tak kejutkan abang, ye! Abang yang tak nak bangun! Mila buatkan sarapan pun dah kira bagus! Mila kena pergi kolej awal hari ni. Ada pembentangan individu. Doakan Mila!

Keevan tersenyum tatkala membaca nota yang diberikan oleh adiknya, Carmila. Dia bingkas bangun dan mengemas katil.

* * * * * *

Dinding pejabat En. Zack dihiasi corak geometri yang berwarna-warni, sesuai dengan bidang media kreatif yang diceburinya. Di suatu sudut yang lain, terdapat bingkai-bingkai gambar yang mempamerkan keratan akhbar, sijil, dan foto-foto yang mengabadikan kejayaan Majalah Vista disepanjang penubuhannya.

Tidak dinafikan bahawa Syarikat Penerbitan Vista adalah satu syarikat penerbitan yang berjaya, malah cukup terkenal di seluruh Malaysia. Selain daripada menerbitkan majalah dan akhbar, ia juga menerbitkan pelbagai jenis buku mengikut kesesuaian semua golongan masyarakat. Ibu pejabatnya yang terletak di Petaling Jaya itulah tempat Keevan bekerja sehari-hari. Dia bertugas sebagai seorang wartawan dan jurufoto di Jabatan Majalah yang diketuai oleh En. Zack. Meskipun En. Zack kelihatan serius dan tegas, hakikatnya dia seorang ketua yang baik hati dan amat bertimbang rasa terhadap para pekerjanya.

Keevan duduk bertentangan dengan En. Zack yang sedang tekun menaip di papan kekunci komputer. En. Zack seolah-olah tidak mengendahkan kehadiran Keevan di hadapannya. Dada Keevan berdegup pantas. Perasaan ingin tahu yang menyelubungi dirinya semakin membuak-buak.

“Apa perkara penting yang En. Zack nak beritahu saya tadi?” Keevan tidak dapat menyembunyikan lagi rasa kurang sabarnya.

“Kejap ya… sikit lagi ni.” Pandangan En. Zack tidak beralih dari skrin komputer tersebut. Keevan mengeluh perlahan dan bersandar semula di kerusi.

“Awal pagi tadi Bob telefon saya.” En. Zack mula bersuara.

“Kenapa dengan dia, bos?” Keevan menumpukan perhatiannya semula.

“Isteri dia baru bersalin, lebih kurang pukul satu pagi tadi.”

“Ye ke?” Keevan sedikit terkejut. En. Zack sekadar mengangguk.

“Tapi dia beritahu saya, sebulan dua lagi.”

“Itulah. Katanya, dia pun tak sangka awal macam ni. Sekarang keadaan anak dia belum stabil. Tak cukup bulan.”

“Oh. Agaknya dia cuba hubungi saya. Tapi saya tidur mati…” Keevan berasa kesal kerana tidak dapat bercakap dengan Bob di saat sahabat karibnya itu kesusahan.

“Awak jangan risau. Dia kata tak ada apa-apa yang serius. Cuma ambil masa sikit nak stabil.”

“Anak lelaki ke, perempuan, bos?

“Kalau tak silap saya, anak lelaki.”

Hati Keevan melonjak dalam diam. Seronoknya! Aku dah jadi Pakcik Keevan sekarang!

“Memandangkan Bob dah ambil cuti kecemasan, kalau boleh saya nak awak ambil alih tugas dia.”

Angan-angan Keevan terhenti.

“Tugas apa, bos?”

“Lusa ada Kejohanan Memanah Peringkat Selangor dekat Sunway Pyramid. Kalau boleh saya nak awak jadi wakil Vista di sana. ”

“Oh, Sunway Pyramid. Pernah jugak dua tiga kali saya ke sana.”

“Hmm… awak pasti awak lapang sekarang? Saya tak nak ganggu kerja awak. Kalau awak sibuk, saya cari orang lain.”

“Eh, saya tak kisah, bos. Saya pun baru habis buat liputan Formula One tu semalam. Itu yang tidur sampai tak ingat dunia.” Keevan bersungguh-sungguh meyakinkan En. Zack. Tiada apa lagi yang dia mahukan disaat itu selain daripada membantu Bob.

“Baiklah kalau macam tu. Ini nama dan nombor telefonnya. Mana tahu awak perlu hubungi dia,” En. Zack menghulurkan sekeping nota kecil kepada Keevan.

“Nombor siapa ni?” Keevan menyambut nota tersebut dengan hairan.

“Orang yang awak kena temuramah nantilah. Wakil dari Subang Jaya. Rekod dia agak cemerlang kalau nak dibandingkan dengan peserta-peserta lain. Sebelum ni, pernah juga dia masuk surat khabar. Tapi belum ada liputan penuh pasal dia. Saya dapat rasa dia akan naik tak lama lagi.”

“Hmm… OK. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu, En. Zack.”

En. Zack menganggukkan kepala dan meneruskan kerjanya di komputer.

Keevan keluar dari pejabat tersebut dan berjalan menuju ke mejanya. Otaknya ligat berfikir tentang tugasan yang baru diterimanya.

Dah berapa tahun aku tak buat liputan sukan...

Dari jauh dia ternampak Jerry sedang rancak berbual di telefon. Jerry yang turut menyedari kehadiran Keevan, terus melambai-lambai memanggilnya.

“Keevan! Bob ni!”

Keevan mempercepatkan langkahnya. Sambil tercungap-cungap, dia mengambil telefon dari tangan Jerry.

“Hei, Bob! Tahniah! Engkau dekat mana ni?”

“Terima kasih! Aku dekat hospital lagi ni. Semalam aku telefon kau, tapi kau tak angkat. Maaflah aku kacau kau pagi-pagi buta.” Suara Bob di talian sebelah jelas menunjukkan kegembiraannya.

“Eh, jangan cakap macam tu. Aku yang tidur mati! Wah, dah jadi bapalah kau sekarang! Macam mana anak engkau? Apa nama dia? Isteri kau OK tak?”

“Banyak betul soalan kau! Mana satu aku nak jawab ni? Anak aku belum stabillah. Tapi doktor kata, tak ada apa-apa. Siti OK. Cuma badan dia lemah sikit.”

“Eh, engkau tak jawab soalan aku lagi. Apa nama anak engkau?”

“Mohd. Azhar.”

“Mohd. Azhar? Macam nama kau je! Mohd. Azhar bin Mohd. Azhari. OKlah tu. Ada nilai komersial!” Keevan ketawa diikuti dengan Bob.

“Habis tu, takkan aku nak letak nama Keevan pulak!”

“Betul jugak tu. Kau suruhlah Siti mengandung anak laki lagi! Boleh kita buat pasukan bola sepak!”

“Hai, kesianlah bini aku! Takkan semuanya dia. Kau tu bila lagi?”

“Kau ni Bob, macam tak paham-paham je. Aku nak kumpul duit banyak-banyak dululah. Bagi adik aku kahwin dulu, baru aku pikir pasal diri sendiri.”

“Yelah, yelah… Tiap kali aku tanya, jawapan kau sama je. Engkau dengan kamera kau, Davina dengan kapal terbang dia. Agaknya bila anak aku kahwin esok lusa, barulah kau orang nak kahwin saing dia!”

“Alah… kalau tak kahwin langsung pun aku boleh hidup, Bob!”

Entah mengapa, tiba-tiba perbualan mereka menjadi sepi.

“OKlah, Keevan. Aku nak pergi tengok Siti kejap.”

“OK. Pasal kerja kau tu, jangan bimbanglah. Aku dah ambil alih.”

“Ye ke? Terima kasih banyak-banyak, Keevan! Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi. Kalau benda ni tak jadi, aku pun takkan menyusahkan kau.”

“Tak ada apalah, Bob. Selama ni bila aku susah, kau yang tolong aku. Yang penting sekarang ni, kau jaga Siti dengan anak kau elok-elok sampai dia orang sihat. Apa-apa hal, telefon je aku!”

“Yelah, Keevan. Terima kasih banyak-banyak. Aku pergi dulu!”

“OK, bye.”

“Bye.”

Keevan meletakkan gagang telefon dan menghela nafas lega. Dia tumpang gembira di atas kelahiran anak sulung Bob. Namun jauh di sudut hatinya, dia juga berharap agar persahabatan mereka dapat kembali seperti dulu. Sebelum Bob berkahwin, hubungan mereka berdua cukup rapat. Mereka selalu bersembang di kedai minum sehingga lewat pagi, memancing pada hujung minggu, menonton perlawanan bola sepak dan berkongsi masalah bersama. Tetapi sejak berumahtangga, Bob sudah ada tanggungjawabnya sendiri. Hubungan mereka masih rapat, tetapi mereka tidak dapat meluangkan masa bersama sekerap dahulu.

Dan kini, Bob sudah mempunyai anak. Dengan keluarga yang semakin besar, tentu peranannya juga lebih besar. Keevan sedar dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Pasti dia akan membuat perkara yang sama jika dia berada di tempat Bob. Mungkin inilah yang dikatakan asam garam kehidupan. Keevan yakin, walau apa pun yang terjadi, dia dan Bob akan tetap terus bersahabat.

Untung Bob. Ada orang jaga dia, ada dia jaga orang. Aku? Umur dah 29 tahun, tapi aku rasa perjalanan aku masih jauh. Aku sendiri belum pasti pasal Davina. Banyak lagi yang aku nak capai.

Keevan meneliti semula nama yang tertera di atas nota kecil pemberian En. Zack tadi.

ARISSA JOHARI…

* * * * * *

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Wani, u should publish your novel properly.u such a good writer. i enjoy reading it..

Friday, May 09, 2008 1:48:00 am  

Post a Comment

<< Home